Asal usul bola tampar telah mencetuskan perdebatan yang
hangat. Walaupun asal usulnya tidak jelas, adalah dipercayai bahawa permainan
yang hampir sama dengan bola tampar telah dimainkan beberapa ratus tahun dahulu
di Amerika Tengah dan Selatan serta di Asia Tenggara. Howard Keith (1942) di
dalam bukunya Sports and Games telah melaporkan bahawa bola tampar di Amerika
telah diubahsuai daripada Fraust Ball yang diperkenalkan di Jerman pada tahun
1893. Begitu juga dengan permainan Minton yang dibawa ke Amerika oleh David
McConnaughly Jr. pada tahun 1895. Kedua-dua jenis permainan tersebut mempunyai
ciri-ciri yang hampir sama dengan bola tampar Morgan. Walau bagaimanapun,
Morgan tetap berpendirian bahawa beliaulah yang telah mencipta permainan bola
tampar.Permainan bola tampar mula diperkenalkan pada tahun 1895 di Gimnasium
Y.M.C.A., Springfields, Massachusettes, Amerika Syarikat oleh Prof.William J.
Morgan (1870-1942) sebagai suatu permainan rekreasi. Morgan sebagai seorang pengarah
fizikal telah dipertanggungjawabkan untuk mencipta suatu permainan rekreasi
untuk sekumpulan lelaki yang enggan bermain bola keranjang.
Pada peringkat mula, bola keranjang dipukul dengan tangan
supaya ia sentiasa di udara. Kemudian jaring diletakkan di tengah dan beberapa
peraturan diwujudkan. Jaring ditinggikan kepada tujuh kaki namun bermain dengan
bola keranjang telah menyebabkan tangan pemain menjadi sakit kerana menahan
beratnya. Morgan seterusnya telah meminta pertolongan syarikat Spalding untuk
mencipta bola baharu yang dihasilkan dengan menggunakan kulit anak lembu. Sejak
itu, permainan ini terus diminati dan diterima oleh Mesyuarat Pengarah Fizikal.
Pada mulanya, bola tampar dikenali dengan nama Mintonette dan diubah kepada
Volleyball oleh Prof H. T. Halstead pada tahun 1896.
Populariti bola tampar bermula pada tahun 1900 apabila
Kanada menjadi negara pertama menerimanya dan kemudiannya diperkenalkan ke
India pada tahun yang sama. Sukan bola Tampar terus berkembang apabila ia
diperkenalkan ke Cuba (1905), China (1906), Jepun (1908), Puerto Rico(1909) dan
Filipina (1910) sebelum ianya diperkenalkan ke Eropah.
Semasa Perang Dunia Pertama, tentera Amerika Syarikat
memperkenalkan permainan bola tampar ke Eropah; Yogoslavia (1918),
Czechoslovakia dan Poland (1919) serta Rusia (1922). Secara beransur-ansur
permainan bola tampar telah berkembang daripada peringkat permainan berbentuk
rekreasi kepada sukan yang dipertandingkan. Pada tahun 1934, usaha pertama
menubuhkan persatuan antarabangsa dan komisi khas telah bermula. Pada tahun
1936, usaha diteruskan semasa Sukan Olimpik Berlin tetapi telah diganggu oleh
Perang Dunia Kedua. Perkembangan tersebut telah menyebabkan banyak persatuan
bola tampar ditubuhkan. Persatuan Bola Tampar Amerika Syarikat ditubuhkan pada
tahun 1928 dan diikuti oleh Czechoslovakia, Poland, Rusia, Jepun dan Filipina.
Perancis, Itali dan Belgium masingmasing telah menubuhkan persatuan bola tampar
pada tahun 1936,1945 dan 1946. Pada tahun 1947, Federation Internasionale de
Volleyball (FIVB), iaitu sebuah badan rasmi bola tampar dunia ditubuhkan dengan
14 ahli. Presiden pertama badan tersebut ialah Paul Libaud (Perancis) yang
memegang jawatan selama 37 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan