Khamis, 18 Oktober 2012

Definisi Rencana


Definisi Rencana
            Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, antara maksud rencana ialah cerita, karangan, kisah (terutama dalam surat khabar, majalah, dan lain-lain) yang merupakan pendapat surat khabar atau majalah itu; catatan mengenai perbincangan dalam mesyuarat, laporan, minit mesyuarat dan lain-lain. Rencana juga dikenali sebagai artikel atau makalah yang menghuraikan sesuatu perkara berdasarkan sesuatu tajuk.
            Makalah bermaksud rencana atau artikel tentang sesuatu perkara, biasanya yang disiarkan dalam majalah, surat khabar, dan lain-lain; pemakalah orang yang menulis (menyedia­kan, membentangkan dan sebagainya).
            Artikel menurut Kamus Pelajar bererti mempunyai dua maksud iaitu bahagian atau fasal daripada sesuatu undang-undang dan yang kedua ialah karangan atau tulisan tentang sesuatu perkara yang disiarkan dalam akhbar dan sebagainya; makalah.
            Selain itu, menurut buku Penulisan Rencana Berkesan, karya Mus Chairil Samani (2002), rencana juga ditakrifkan sebagai penulisan yang terperinci tentang sesuatu perkara benar yang membolehkan penonjolan keperibadian penulis sama ada melalui pandangan yang diutarakannya, tentang persoalan yang digarapnya, ataupun menerusi gaya yang digunakannya.
            Dalam penulisan rencana juga, penulis mempunyai banyak ruang untuk mengolah idea dan bermain dengan perkataan untuk menarik minat pembaca.
            Rencana ialah karangan atau cerita tentang sesuatu perkara yang dapat berdiri sendiri, biasanya terdapat di dalam suatu karya yang lebih besar. Karya bukan rekaan ini dapat diterbitkan dalam surat khabar, majalah, jurnal atau penerbitan lain. Setiap rencana lazimnya mengandungi nama penulis atau pengarang. (Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan