Jenis-jenis Rencana
Terdapat beberapa jenis rencana iaitu rencana jenis pendapat, rencana jenis profil, rencana jenis kritikan, rencana jenis penerangan, rencana jenis umum, rencana jenis perbahasan, rencana jenis pengalaman peribadi, rencana jenis penyiasatan.
1. Rencana jenis pendapat
Walaupun rencana jenis ini adalah berdasarkan pendapat seseorang, namun pendapat mereka perlu berasaskan fakta. Ini kerana, pendapat tanpa fakta yang kukuh tidak akan menarik minat orang ramai yang membacanya. Fakta-fakta yang basi atau yang telah lama diketahui oleh orang ramai juga tidak akan menarik minat. Untuk menghasilkan fakta-fakta tersebut, penulis rencana perlulah melakukan penyelidikan terlebih dahulu. Penulis akan cuba mempengaruhi pembacanya supaya menerima pendapatnya. Untuk mencapai maksud tersebut, pendapat-pendapatnya perlulah bernas dan menarik.
2. Rencana jenis profil
Rencana jenis ini adalah tentang seseorang tokoh. Rencana akan mengupas tentang seseorang tokoh yang terkenal. Selalunya rencana akan mengupas tentang jasa seseorang tokoh, keistimewaannya, sejarah hidupnya, atau kejayaannya.
3. Rencana jenis kritikan
Rencana jenis ini lebih kurang sama seperti rencana jenis pendapat. Ini kerana kritikan yang dilontarkan adalah pendapat penulis rencana semata-mata. Kritikan bermakna penulis rencana akan memberikan pendapat atau pandangannya tentang kebaikan atau keburukan sesuatu perkara. Selalunya, kritikan lebih merujuk kepada menerangkan keburukan sesuatu perkara. Untuk memberi pengaruh kepada kritikan yang diberikan, penulis rencana akan memberikan fakta-fakta yang kukuh dan bernas. Selalunya, rencana kritikan akan menyatakan kelemahan atau keburukan sesuatu perkara.
4. Rencana jenis penerangan
Rencana jenis penerangan adalah bentuk rencana yang paling umum. Penulis rencana akan memberikan kumpulan fakta-fakta untuk menerangkan tentang sesuatu perkara. Rencana jenis ini lebih bersifat naratif. Penulis mahu memberitahu sesuatu kepada pembacanya.
5. Rencana jenis umum
Rencana jenis umum adalah rencana tentang sesuatu perkara yang telah diketahui ramai. Antara contoh rencana jenis umum adalah rencana tentang bencana banjir, tentang pantai, tentang hutan dan sebagainya. Isi kandungan rencana jenis umum ini bukannya sesuatu yang baru.
6. Rencana jenis berita
Rencana jenis berita adalah rencana tentang isu semasa yang masih menjadi perhatian orang ramai. Rencana jenis ini mempunyai maklumat terkini tentang sesuatu perkara. Rencana jenis ialah mengupas dengan lebih lanjut tentang perkara yang sedang hangat diperkatakan pada sesuatu masa.
7. Rencana jenis perbahasan
Dalam rencana jenis ini, penulis akan memberikan sesuatu pendapat tentang sesuatu perkara dan dalam masa yang sama menentang pendapat lain tentang perkara yang sama. Penulis seolah-olah berbahas dalam rencananya. Biasanya dalam rencana jenis ini, penulis akan mengambil satu-satu pendirian terlebih dahulu, iaitu sama ada menyokong atau mengkritik sesuatu perkara.
8. Rencana jenis pengalaman peribadi
Rencana jenis ini adalah semata-mata berasaskan pengalaman penulis itu sendiri tentang perkara-perkara yang telah dialaminya atau yang telah dilaluinya. Rencana tentang pelancongan atau pengembaraan banyak berbentuk rencana jenis pengalaman. Penulis akan menceritakan secara naratif tentang apa yang telah dilaluinya sebelum itu.
9. Rencana jenis penyiasatan
Rencana jenis ini cuba menyelongkar tentang sesuatu isu, masalah atau situasi yang menjadi perbualan orang ramai. Dalam rencana jenis ini, penulis akan ‘menyiasat’ tentang sesuatu. Rencana ini juga bersifat pembongkaran tentang sesuatu perkara yang mana sebelum itu tidak diketahui oleh orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan